Suntik semangat pelajar untuk hadir ke sekolah - NGO KUALA LUMPUR 10 Feb. - Garis panduan baru Kementerian Pelajaran yang tidak membebankan pelajar sekolah dengan kerja rumah keterlaluan mampu menyuntik serta membakar semangat mereka untuk terus hadir ke sekolah. Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh akademik yakin garis panduan itu berpotensi mewujudkan suasana pembelajaran yang meriangkan di sekolah. Bagaimanapun kata mereka, guru-guru perlu menghormati serta mematuhi langkah tersebut supaya ia dapat dilaksanakan dengan lancar. Tokoh pendidik, Prof. Tan Sri Awang Had Salleh berkata, langkah kementerian itu dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh para pelajar selama ini. ``Guru-guru seharusnya tahu tujuan mereka memberi kerja rumah kepada anak muridnya ini. ``Dengan adanya panduan ini saya percaya pelajar-pelajar di peringkat rendah tidak akan berasa takut untuk sekolah di mana mereka anggap ke sekolah pasti pulang dengan kerja sekolah yang banyak,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini bahawa semua pelajar di negara ini tidak lagi dibebankan dengan kerja sekolah yang melambak ekoran garis panduan baru kementerian itu. Melalui kaedah baru itu, setiap kelas akan mempunyai satu jadual yang ditampal pada dinding menetapkan bilangan kerja rumah yang telah diberikan oleh setiap guru. Menurut Awang Had, ada sesetengah ibu bapa beranggapan bahawa segelintir guru malas kerana tidak memberi kerja sekolah kepada anak-anak mereka. Sebaliknya kata beliau, ibu bapa perlu mengikis fahaman itu kerana pemberian kerja rumah yang banyak tidak menjamin kepintaran anak mereka. Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Prof. Madya Dr. Mohd. Ali Hassan pula berpendapat, guru-guru perlu mematuhi garis panduan tersebut demi menjamin kecemerlangan mutu pendidikan anak murid mereka. ``Saya berharap kaedah baru ini perlu mendapat perhatian daripada para guru bagi menjamin dasar pendidikan yang cemerlang,'' katanya. Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Prof. Madya Dr. Rahman Daud percaya garis panduan itu dapat mewujudkan pembelajaran yang lebih baik dan tidak akan membosankan pelajar untuk ke sekolah. Sebaliknya, mata pelajaran seperti Matematik dan Sains perlu diberikan latihan yang banyak kerana ia memerlukan latihan yang banyak setiap hari. ``Guru-guru juga perlu memikirkan kesan daripada pemberian kerja rumah yang melambak kepada anak muridnya. ``Saya percaya ini satu langkah baik daripada kementerian bagi melahirkan pelajar yang rajin ke sekolah,'' katanya.
Komen aku : Makin manja larr students2 sekarang!!! |